Sunday 7 August 2011

Program 6P mencabar, Jangan batok ditangga


Program 6P (atau lebih tepat lagi program pendaftaran, pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan, dan pengusiran melibatkan program penyelesaian menyeluruh pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin), mungkin merupakan PROJEK MEGA yang dijanakan oleh Hishamuddin Hussein Onn sebagai menjawab pertanyaan sejauh manakah keberaniannya selama ini, selepas BERSIH 2.0 memberikan pukulan tiga suku nyawa kepadanya.

Pemerdagangan manusia merupakan industri yang sangat menguntungkan. Dan seperti yang dinyatakan oleh Hishamuddin sendiri, sindiket-sindiket atau syarikat-syarikat yang berlindung di sebalik pelbagai jenama syarikat mahupun peraturan dan undang-undang negara, mengaut keuntungan yang bukan sedikit daripada pembekalan pekerja yang sebenarnya lebih kepada penghambaan zaman moden.

Sebenarnya apabila Hishamuddin mencantas operasi pemerdagangan manusia menerusi Program 6P, Hishamuddin sedang bermain dengan api. Dan api ini bukannya api kecil atau api kuning merah, tapi api biru dan putih. Api yang kalau membakar, bukan sahaja rentung, bahkan hangus jadi abu.

Pemerdagangan manusia adalah perdagangan antarabangsa yang mempunyai jaluran serta jalinan di serata negara di dunia ini. Apabila Hishamuddin membuat perjanjian pertukaran suaka dengan Australia, ramai yang masih tidak menyedari tentang bahaya yang sedang ditempah oleh Hishamuddin untuk kerjayanya selaku orang politik.

Sebabnya, Malaysia juga sudah terasuk dengan fenomena kumpulan-kumpulan jenayah membiayai ahli-ahli politik. Ahli-ahli politik dari parti-parti politik tertentu dilihat banyak bekerja bagi pihak kumpulan-kumpulan jenayah tersebut. Dan yang menariknya, sekalipun mereka melakukan jenayah, kepakaran undang-undang membuatkan mereka berjaya mengelak daripada diseret ke muka pengadilan dan menerima hukuman.

Kumpulan-kumpulan penjenayah tersebut mengaut keuntungan berbilion ringgit hasil pemerdagangan manusia, sama ada sebagai tenaga kerja, mahupun sebagai pelacur dan buruh paksa.

Barangkali Hishamuddin sudah mulai sedar tentang bahaya serta ancaman sebenar pendatang tanpa izin yang menjadikan Malaysia sebagai syurga mereka. Di Semenanjung, pendatang-pendatang asing menimbulkan masalah yang bukan kecil. Di Sabah, masalah pendatang asing lebih meruncing dan tindakan yang lebih menyeluruh serta tegas sangat diperlukan.

Cuma diharapkan Hishamuddin akan merangka program seterusnya yang akan menyokong keberkesanan Program 6P yang dijanakannya. Tiada guna sekadar untuk mendaftar para pendatang asing tersebut secara biometrik, tetapi pendatang-pendatang asing yang enggan tampil dan masih berlagak memandangkan sehingga kini tiada tindakan menyeluruh dan tegas daripada Kementerian Dalam Negeri.

Rakyat masih melihat sejauh mana kesungguhan Hishamuddin untuk mengatasi masalah pendatang asing yang semakin membuak-buak datang ke negara YANG SUSAH DAN ZALIM ini. Adakah Hishamuddin akan meneruskan dasarnya itu atau sekadar melepaskan batok di tangga dengan isu pendatang asing yang tidak pernah kunjung selesai.


Widget by Forex Trading | Business

0 comments:

Post a Comment

 
Online