Sunday 7 August 2011

Adakah wang zakat kita digunakan secara telus?


Saya tertarik untuk memetik kata-kata dari Dr Asri dalam Malaysian Insider hari ini di bawah tajukBukan haram umat Islam terima bantuan agama lain. Ini kerana saya pun sudah lama hairan, kenapa duit zakat yang begitu banyak dapat dikutip setiap tahun masih tidak dapat lagi menyelesaikan masalah orang-orang miskin ketika sangat-sangat memerlukan bantuan.

Setelah dikutip zakat dari perniagaan-perniagaan besar, orang-orang kaya, zakat fitrah dan sebagainya, ke mana sebenarnya kebanyakan wang tersebut pergi? Kelihatannya seperti ada yang tidak telus. Sepatutnya pihak yang bertanggung jawab selain memaparkan berapa jumlah kutipan, hendaklah memaparkan juga ke mana pengalirannya sehingga selesai kes.

Jelas Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, sekiranya wang zakat digunakan secara telus mustahil umat Islam perlu meminta bantuan daripada penganut agama lain.

“Ke mana perginya wang zakat kita? Ratusan juta hasil kutipan yang diumumkan saban tahun, apakah tidak mampu untuk membantu fakir miskin ini keluar dari kesusahan mereka sehingga tidak perlu meminta ‘sedekah’ kepada orang lain? Mengapa karenah biokrasi begitu tinggi untuk fakir miskin mendapatkan bantuan zakat? Semua orang yang pernah berurusan dengan hal ini, akan ada pengalaman mereka sendiri. Untuk mendapatkan RM100 hingga RM200 pun, begitu banyak karenahnya.

“Sedangkan pejabat zakat kelihatan mewah, gaji pegawai dan bos begitu tinggi dan peralatan urusan juga begitu canggih. Apakah belanja yang tinggi itu hanya untuk urusan mencari pembayar, tetapi tiada kesungguhan yang memadai untuk mencari penerima yang layak?

Tujuan zakat antaranya untuk mendekatkan hati manusia dengan Islam. Sebab itu, ada hak untuk golongan mualaf. Bagaimanakah mungkin pengurusan zakat gagal melakukan hal ini, sehingga yang sudah Muslim ingin meninggalkan Islam kerana gagal mendapat bantuan daripada umat Islam khususnya zakat?” soalnya.

Justeru Asri meminta supaya tidak bersangka buruk kepada pihak yang bersedia menghulurkan bantuan kepada umat Islam.

“Janganlah jika kita gagal membantu sedangkan kita mampu tapi kita menyalahkan orang lain yang membantu. Setiap orang akan terpengaruh dengan pihak yang berbuat baik kepadanya. Itu fitrah manusia. Jika dia lemah iman, mungkin agamanya juga diserahkan. Mereka yang terpengaruh dengan pihak gereja atas budi baik, itu sesuatu yang tidak pelik.

“Namun yang pelik, bagaimana dalam negara Islam, umat kita boleh menukar agama disebabkan layanan yang tidak memuaskan oleh masyarakat Muslim? Sebaliknya mereka terpengaruh dengan sikap baik penganut agama lain. Apakah slogan-slogan agama kita selamat ini hanya kosmetik yang tidak berpijak kepada realiti kehidupan?,” katanya.

Ini lah akibatnya jika selama ini kita hanya mengejar kemajuan tetapi menyisihkan golongan yang kesempitan dan hidup tertindas. Ini lah akibatnya jika kita hanya mahu menunjuk pandai sesama sendiri, tetapi kepandaian itu bukan untuk membantu orang lain, tetapi untuk menunjuk-nunjuk dan bermewah diri sendiri dan keluarga sahaja. Ini lah akibatnya jika sistem hidup kita semakin lari dari yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Ini lah akibatnya jika Undang-undang Islam kita buang dari hidup kita dan mengambil Undang-undang dari barat. Sedih :(

Sepatutnya duit kutipan zakat dapat membantu untuk menarik orang pada Islam, menunjukkan betapa Islam ini terlalu CAKNA pada golongan fakir, miskin, muallaf, dan kesempitan hidup. Sepatutnya Islam boleh menjadi contoh pada sekelian alam, tetapi apa dah jadi hari ini?
Jangan biarkan makin ramai yang MURTAD kerana silap UMAT ISLAM sendiri! Na'uzubillah.

“Tidak beriman (sempurna) seseorang kamu, sehingga dia kasihkan kepada saudaranya sepertimana dia kasihkan dirinya sendiri.” (Hadith Riwayat Bukhari)

Sila baca kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz, dimana pada masa pemerintahannya selama 2 tahun lebih saja dia dapat membasmi kemiskinan, sehingga tidak ada langsung yang layak terima zakat, kerana semuanya sudah hidup senang.


Widget by Forex Trading | Business

0 comments:

Post a Comment

 
Online